Saturday 30 November 2013

Ujian dan rahmat.

Assalamualaikum .

Konflik-konflik yang seringkali hadir dalam kehidupan seorang manusia merupakan qada’ dan qadar (ketentuan) daripada Allah S.W.T. Kita yang namanya hamba, sangat perlu untuk sedar dan menerima hakikat bahawa sesungguhnya antara tujuan penciptaan manusia adalah untuk diuji dan dinilai oleh Allah S.W.T. Malangnya akal manusia yang pendek membuatkan kita terlalu prejudis dan bersangka buruk dengan ketetapan yang telah Dia aturkan.
Bukan semua ketetapan yang baik pada pandangan kita, semudahnya boleh kita takrifkan sebagai rahmat. Bukan semua ketentuan yang buruk pada penglihatan kita, semudahnya pula kita hukum sebagai musibah dari Tuhan. Kita terlupa, diisebalik  turunnya ujian itu tersembunyi jutaan kenikmatan, dan diturunkan nikmat sedangkan nikmat itu adalah ujian dirinya. Hakikatnya, apapun jua yang Allah kurniakan baik nikmat mahupun ujian merupakan sebahagian daripada kehidupan.
Kisah si Ombak
Sedang ombak menikmati indahnya tiupan angin di lautan yang terhampar luas, dia melihat ombak lain yang berada tidak jauh di hadapannya menghempas batu-batu di tepian pantai. Menyedari tidak lama lagi dia juga akan menerima nasib yang sama, dia berasa sedih.
“Bagaimana sekarang ini? Adakah aku juga akhirnya akan menghempas batu-batu itu? Pasti sangat menyakitkan.”
Kemudian datang ombak yang lain. Melihatkan ombak tadi sedang bersedih, lantas dia bertanya:
“Kenapa engkau kelihatan sedih?”
Ombak yang sedih tadi menjawab:
“Engkau tidak tahukah kita semua akan melanggar batu-batu besar di hujung sana. Entah apa akan jadi kepada kita selepas itu. Malang sungguh nasib kita menjadi ombak.”
Ombak lain tadi kemudiannya membalas:
“Tidak. Bukan begitu. Kita bukannya ombak. Kita sebahagian daripada lautan.”
ombak aneh cantik5 copy
******
Persis ombak yang sebahagian daripada lautan, begitulah juga ujian yang sebenarnya merupakan sebahagian daripada kehidupan. Hakikatnya ujian itu bukan semata-mata ujian. Ianya manifestasi kehidupan hamba-hamba yang beriman. Sedangkan Rasulullah S.A.W yang merupakan kekasih Allah lagi diuji, inikan pula kita umat baginda.
Allah S.A.W telah telah berfirman:
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” (Al-Baqarah: 214)

Ibrah dan pengajaran
Justeru,  yang menjadi pertimbangan kepada Allah kemudiannya adalah bagaimana manusia beriman tadi menghadapi konflik-konflik tersebut. Sama ada melalui jalan kebaikan ataupun kejahatan. Manusia yang beriman tidak terus menyalahkan Tuhan atas sesuatu yang telah ditetapkan. Mereka beriman bahawa sebaik-baik perancang itu adalah Allah S.W.T walaupun mereka juga telah merancang sebaik mungkin. Mereka yakin, perancangan Allah mengatasi apa yang telah mereka rancang.  Mereka juga tahu Allah jualah tempat sebaik-baiknya meletakan pengharapan untuk suatu kehidupan. Benarlah, sesungguhnya Dia yang Maha Menciptakan dan menetapkan segala sesuatu.
Firman Allah S.W.T:

“Sesungguhnya mereka telah berlumba-lumba dalam usaha-usaha kebaikan, dan mereka berdoa kepada Kami dengan penuh harap dan takut, dan mereka itulah adalah orang-orang yang tunduk hatinya kepada Kami.” (Al-Anbiya’: 90) 

Mereka akan terus berusaha untuk mencari redha Allah S.W.T selain terus menanamkan sifat sabar dan redha.  Manusia beriman akan sentiasa yakin ada hikmah yang tersembunyi di sebalik aturan Ilahi. Seperti yang sudah dinyatakan sebelum ini, tidak semua musibah yang terlihat buruk pada permulaannya, akan tetap buruk sehingga pengakhiran. Lantaran itu, orang beriman itu akan bijak mengambil peluang.
Peribahasa cina ada mengatakan;
‘When the wind of change blows, some build walls, while others build windmills.’
Bukan pilihan
Antara peluang dan ruang paling besar yang Allah kurniakan bersama ujian, adalah kesedaran untuk hamba-hambaNya kembali kepada Tuhan. Sudah menjadi fitrah manusia yang lemah, akan terus teringatkan Allah yang Maha Kuat ketika waktu  menghimpit. ‘Allah..’ Itulah kata yang spontan terucap apabila ditimpa sesuatu musibah. Silapnya kita kerana merasakan diri sangat lemah hanya apabila ditimpa ujian. Saat senang diulit kemewahan, entah mana ingatan kita pada Tuhan.
Sampai bila mahu begitu? Sampai bila mahu bertuhan hanya ketika senang? Ingatlah, Allah tetap sama saat kita susah mahupun senang. Allah tetap yang Maha Kuat, Yang Maha Agung. Andai sahaja kita tidak meletakkan Allah sebagai pilihan pertama, pasti segala rencana yang Dia aturkan mampu kita hadapi dengan baik sebagaimana layaknya seorang hamba. Kerana itu, Allah berikan kepada manusia hak untuk memilih berbekalkan Al-Quran dan As-sunnah yang dipandu dengan akal yang waras.
Sabda Rasulullah S.A.W:

“Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya selagi berpegang dengan keduanya, iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah RasulNya” (Hadis Riwayat Muslim) 

Ingatlah, dengan berlalunya waktu maka berlalulah juga kesusahan mahupun kesenangan. Hanyasanya nikmat dan ujian itu adalah sementara. Tiada kekal selamanya kerana hal itu adalah sebahagian daripada kehidupan sedang kehidupan itu juga pastinya akan berhenti pada waktu yang telah ditetapkanNya. 

No comments:

Post a Comment

Leave your comments here , syukran :D